05/06/2026
MAJLIS SEKALUNG BUDI PROF. TS. DR AIDA BINTI MUSTAPHA
UMPSA Pekan | 3 Jun 2026
Prof. Ts. Dr. Aida binti Mustapha, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) telah diraikan oleh warga kerja Jabatan Penyelidikan & Inovasi (JPI) sempena hari terakhir pelantikan beliau sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UMPSA telah diadakan bermula pada pukul 2.30 petang di Dewan Banquet, Canseleri Tun Abdul Razak (CTAR), UMPSA Pekan.
Turut dijemput dan menghadiri majlis tersebut adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), YH Dato’ Pendaftar, Penasihat Undang-Undang, Ketua Pegawai Digital, Pengurus Besar JHEAA dan Pengarah Pusat Pemasaran & Kemasukan Akademik. Turut hadir bagi menyampaikan cenderahati kepada Prof. Ts. Dr. Aida adalah Dekan FTKKP dan Dekan FTKMA.
Tujuan utama majlis tersebut diadakan adalah untuk memberikan penghargaan kepada Prof. Ts. Dr. Aida yang pelantikan beliau sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UMPSA berakhir pada 3 Jun 2026. Ianya juga sebagai tanda penghargaan warga kerja JPI yang telah sama-sama berganding bahu melaksanakan tugas dan tanggungjawab di bawah kepimpinan Prof. Ts. Dr. Aida selama dua (2) tahun.
Permulaan majlis adalah dengan tayangan video montaj perjalanan Prof. Ts. Dr. Aida sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UMPSA meliputi peristiwa lapor diri, gaya kepimpinan, pencapaian, pembaharuan, kebersamaan dan akhiran menjawat tanggungjawab sebagai TNCPI.
Majlis telah disambung dengan sesi ucapan penghargaan oleh Penolong Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) yang mewakili seluruh warga kerja JPI. Intipati ucapan beliau adalah penghargaan dan terima kasih di atas kepimpinan Prof. Ts. Dr. Aida sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UMPSA.
Sesi diteruskan dengan ucapan perpisahan oleh Prof. Ts. Dr. Aida yang menyatakan kekaguman beliau terhadap watga kerja JPI yang sentiasa komited dan bekerja dengan penuh dedikasi bagi memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan di bawah JPI dapat dicapai. Konsep bekerja sebagai satu keluarga besar telah diterapkan di JPI sepanjang tempoh kepimpinan beliau.
Prof. Ts. Dr. Aida dan para hadiran telah dijemput menikmati jamuan yang disediakan melalui pembiayaan oleh Kelab KRIS JPI dan sumbangan tunai secara ikhlas oleh ketua-ketua jabatan serta warga kerja JPI membawa juadah masing-masing bagi dinikmati bersama.
Selesai sesi jamuan, majlis diteruskan dengan sesi penyampaian cenderahati kepada Prof. Ts. Dr. Aida oleh Penolong TNCPI yang mewakili warga kerja JPI. Juga acara pemotongan kek telah dilakukan oleh Prof. Ts. Dr. Aida sebagai simbolik berakhirnya kepimpinan beliau.
Seterusnya sesi bergambar beramai-ramai telah diadakan sebagai tanda ingatan dan kenangan indah dua (2) tahun kepimpinan beliau.
Beberapa warga kerja JPI juga telah diberikan peluang untuk menzahirkan ucapan penghargaan kepada Prof. Ts. Dr. Aida.
Pengakhiran majlis adalah sesi mengiringi beramai-ramai Prof. Ts. Dr. Aida meninggalkan UMPSA dengan beliau berjalan keluar dari Dewan Banquet menuju ke lobi CTAR dan seteusnya menaiki kenderaan rasmi UMPSA serta bergerak meninggalkan bangunan CTAR menuju ke kediaman beliau.