11/06/2026
Kolej Komuniti Arau Luas Sayap Ke Indonesia, Laksanakan Misi Mobiliti Dan Penanda Aras TVET Global
Medan, 11 Jun 2026 – Kolej Komuniti Arau (KKA) hari ini secara rasminya memulakan misi delegasi antarabangsa empat hari di Sumatera Utara, Indonesia sebagai usaha strategik memahat penanda aras baharu dan memperkasakan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di peringkat global.
Program yang berlangsung sehingga 14 Jun ini merangkumi siri lawatan penanda aras, jalinan strategik bersama industri serta program mobiliti pasaran antarabangsa yang melibatkan pensyarah dan pelajar.
Perjalanan delegasi bermula semalam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan delegasi kemudiannya berlepas dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Medan pada jam sekitar 9.00 pagi.
Bagi memastikan pengisian program mencapai impak optimum, delegasi hari pertama telah dipecahkan kepada tiga kumpulan fokus utama:
Misi Penanda Aras (Team A): Melibatkan lawatan kerja ke Dinas Perpustakaan & Arsip Provinsi Sumatera Utara bagi meninjau serta bertukar pandangan mengenai amalan terbaik pengurusan maklumat dan sistem pengarkiban era digital.
Sinergi Industri & Akademia (Team B): Menjayakan sesi Industrial Talk di Universitas Islam Sumatera Utara (UISU). Sesi berimpak tinggi ini dihadiri oleh barisan peneraju industri, Pengarah KKA, Pengarah Kolej Komuniti Baling serta delegasi korporat berkaitan bagi membincangkan ruang kolaborasi rantaian bakat global.
Mobiliti Pelajar Antarabangsa (Team C): Seramai tujuh orang pelajar bertuah bersama lima pensyarah pengiring melaksanakan program mobiliti akademik dengan mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Tinggi Ilmu Manajemen (STIM) Sukma dan Politeknik Cendana (POLCEN) bagi pendedahan silang budaya serta perkongsian fasiliti pembelajaran.
Selesai agenda rasmi, kesemua ahli delegasi diraikan dalam sesi apresiasi budaya menerusi jamuan makan tengah hari di Restoran Simpang 3 Mongonsidi bagi merasai keunikan gastronomi tradisi kulinari Padang dan Minang.
Delegasi seterusnya bergerak ke wilayah tanah tinggi Berastagi pada sebelah petang bagi sesi pengayaan budaya di beberapa lokasi ikonik termasuk Pagoda Shwedagon di Taman Lumbini dan Seruni. Hari pertama edisi jelajah ini ditutup dengan sesi daftar masuk di ULUNA Hotel, Berastagi bagi sesi taklimat teknikal sebagai persediaan menghadapi pengisian agenda seterusnya esok.
Langkah proaktif Kolej Komuniti Arau menembusi pasaran seberang laut ini dijangka menjadi rujukan penting dalam memperkukuh jalinan kerjasama akademik serantau sekali gus membuktikan kebolehupayaan institusi TVET Malaysia di persada antarabangsa.