10/06/2026
KASIH UKHUWAH ALUMNI UMK: CHE KHAIRUNNISA DAN MOHAMAD AZAM, DIPERTEMUKAN DI UMK, MELAKAR KEHIDUPAN DAN KEJAYAAN BERSAMA
Ada yang melangkah ke universiti untuk menuntut ilmu, ada juga yang hadir untuk mengejar cita-cita. Namun bagi pasangan alumni UMK, Che Khairunnisa binti Che Yusoh dan Mohamad Azam bin Mohamad Roslan, mereka bukan sahaja memperoleh ilmu dan membina kerjaya malah menemukan pasangan hidup yang menjadi teman seperjuangan hingga ke hari ini.
Pasangan ini merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Perdagangan) dengan Kepujian daripada Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan telah menamatkan pengajian pada tahun 2014. Pertemuan yang bermula sebagai rakan sekampus akhirnya membawa mereka ke alam perkahwinan, sekali gus membuktikan bahawa UMK bukan sekadar tempat menimba ilmu tetapi juga medan yang menemukan jodoh serta membina masa depan.
Selepas menamatkan pengajian, mereka meneroka pelbagai pengalaman dalam bidang perniagaan atas talian dan pemasaran digital sebelum melangkah lebih jauh dalam dunia korporat. Berkat dedikasi, konsistensi serta prestasi jualan yang cemerlang, kedua-duanya kini menyandang jawatan sebagai Manager dan Senior Manager di LG Electronics (M) Sdn. Bhd. selepas berjaya meraih pengiktirafan Top Sales selama tiga tahun berturut-turut. Pencapaian tersebut melayakkan mereka diberikan kepercayaan untuk membuka dan menguruskan showroom LG Subscribe Kelantan secara sepenuhnya, sekali gus membuktikan kredibiliti, kepimpinan serta keupayaan mereka dalam mengembangkan perniagaan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
Melalui showroom LG Subscribe Kelantan yang beroperasi di Bandar Kota Bharu, Kelantan, pasangan ini turut memainkan peranan dalam membuka peluang ekonomi dan pekerjaan kepada masyarakat setempat. Selain menyediakan peluang kerjaya sepenuh masa, mereka juga menawarkan peluang latihan industri (internship) kepada mahasiswa serta peluang menjadi ejen di bawah LG Subscribe Kelantan bagi individu yang berminat menjana pendapatan secara fleksibel melalui platform digital.
Di sebalik kejayaan yang dikecapi, pasangan ini percaya bahawa segala-galanya bermula dengan cara seseorang berfikir. Bagi mereka, kejayaan bukanlah tentang menjadi lebih hebat daripada orang lain, sebaliknya berusaha menjadi versi terbaik diri sendiri dari semasa ke semasa.
"Kalau nak buat sesuatu, betulkan mindset terlebih dahulu. Fokus pada matlamat dan sentiasa perbaiki kelemahan diri. Tak perlu bersaing untuk jadi yang terbaik. Cukuplah kita bina empayar sendiri, kukuhkan simpanan dan bantu orang lain melalui peluang pekerjaan yang kita mampu wujudkan," ujar mereka.
Menurut pasangan ini lagi, setiap individu yang berjaya mempunyai kisah perjuangan tersendiri. Ada yang bermula dengan kelebihan dari segi kewangan dan ada juga yang bermula dalam serba kekurangan. Namun, apa yang benar-benar menentukan kejayaan dan kestabilan seseorang ialah usaha, disiplin serta kesungguhan untuk terus belajar dan memperbaiki diri.
"Semua orang yang berjaya bermula dari bawah. Jika ada kelebihan dari segi kewangan, itu satu bonus. Tetapi yang memastikan kita mampu bertahan dan terus stabil hingga hari ini adalah diri kita sendiri," tambah mereka.
Kisah Che Khairunnisa dan Mohamad Azam membuktikan bahawa perjalanan di universiti bukan sekadar tentang memperoleh segulung ijazah. Ia juga merupakan ruang untuk membina hubungan, mencipta kenangan, membentuk jati diri dan menyediakan diri untuk menghadapi cabaran dunia sebenar.
Selain membangunkan perniagaan, pasangan alumni ini turut komited membantu golongan muda dan pencari kerja dengan membuka peluang latihan industri serta peluang menjana pendapatan sebagai ejen LG Subscribe Kelantan. Inisiatif ini selari dengan hasrat mereka untuk berkongsi manfaat dan membantu lebih ramai individu meningkatkan taraf kehidupan melalui peluang kerjaya dan keusahawanan.
Bagi mahasiswa atau alumni yang berminat untuk menjalani latihan industri, membina kerjaya atau menyertai rangkaian ejen di bawah LG Subscribe Kelantan, bolehlah menghubungi Mohamad Azam di talian 013-653 4669 untuk maklumat lanjut. Showroom LG Subscribe Kelantan boleh dikunjungi di Kubang Kerian, Kelantan.
Semoga kisah pasangan alumni ini menjadi inspirasi kepada mahasiswa dan alumni UMK untuk terus berusaha, berani mencipta peluang serta tidak pernah berhenti mempercayai potensi diri. Kadangkala perjalanan yang paling indah bermula daripada langkah kecil yang diambil ketika bergelar seorang mahasiswa.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada YBhg. Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr. Arham bin Abdullah, Naib Canselor UMK dan khususnya YBrs. Prof. Dr. Mohammad Ismail, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), atas sokongan berterusan dalam memperkasakan jaringan alumni UMK.
Pusat Pembangunan Kerjaya, Kaunseling dan Alumni (PKKA) mendoakan agar pasangan suami isteri, Che Khairunnisa dan Mohamad Azam, terus melakar kejayaan yang lebih gemilang, dikurniakan kebahagiaan yang berpanjangan serta menjadi inspirasi kepada mahasiswa, alumni dan seluruh warga UMK.
Lokasi Showroom LG Subscribe Kelantan:
📍 https://maps.app.goo.gl/Ydr9gkqs5Ud3Mv6z5?g_st=awb