07/06/2026
[MAJLIS PENUTUP FESTIVAL LEGASI 40 PERUNDANG PERSEMBAHAN MOCK TRIAL 2026 SERPIH (4:34)]
Pada 17 Mei Berlansungnya Majlis Penutup Festival Legasi 40 Tahun PERUNDANG dan Persembahan teater Mock Trial 2026 berjudul Serpih (4:34) yang telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ketibaan beliau disambut oleh Dekan Fakulti Undang-Undang, Prof. Dr. Rasyikah Md. Khalid, Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FUU, Dr. Mohamad Azhan Yahya bersama barisan pengurusan fakulti dan warga FUU. Program ini merupakan kemuncak kepada pelbagai aktiviti ilmiah, profesional dan kemasyarakatan yang dianjurkan sempena sambutan 40 tahun penubuhan Persatuan Mahasiswa Fakulti Undang-Undang (PERUNDANG) UKM.
Antara pengisian utama majlis ialah Persembahan Teater Mock Trial karya Syahmi Khairul dan Adham Mohsin yang merupakan pengarah dan merupakan penulis skrip untuk Serpih (4:34) yang memberi pendedahan praktikal kepada para pelajar mengenai simulasi prosiding mahkamah serta aplikasi ilmu perundangan dalam situasi sebenar. Program ini mencerminkan komitmen fakulti dalam melahirkan graduan yang cemerlang dari aspek akademik serta memiliki kemahiran profesional yang relevan dengan keperluan semasa industri dan masyarakat.
Dalam ucapannya, Naib Canselor menzahirkan penghargaan kepada Fakulti Undang-Undang atas kejayaan menganjurkan festival yang menjadi platform penting dalam memperkukuh budaya ilmu, profesionalisme serta jaringan antara warga akademia, alumni dan komuniti perundangan negara. Beliau turut mengalu-alukan para alumni untuk kembali menyumbang dan bersama-sama membangunkan universiti.
Turut hadir ialah Prof. Madya Dr. Shazli Ezzat Ghazali, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UKM, barisan pengurusan fakulti serta para alumni.
Penganjuran majlis penutup ini melambangkan kejayaan Festival LEGASI 40 TAHUN PERUNDANG dalam menghimpunkan warga fakulti, alumni dan komuniti perundangan, sekali gus memperkukuh legasi kecemerlangan Fakulti Undang-Undang UKM.