12/05/2026
KURSUS PENGURUSAN JENAZAH
Kursus Pengurusan Jenazah telah diadakan pada 12 Mei 2026 bertempat di Auditorium Kolej Komuniti Bayan Baru. Program ini melibatkan seramai 35 orang peserta yang terdiri daripada staf dan pelajar Kolej Komuniti Bayan Baru (KKBU) serta pelajar dari Madrasah Tahfiz Darul Ukasha.
Kursus ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan kefahaman kepada peserta mengenai tatacara pengurusan jenazah menurut syariat Islam. Antara pengisian program termasuklah sesi penerangan teori serta amali yang merangkumi proses memandikan, mengkafankan, mensolatkan dan pengurusan pengebumian jenazah.
Kursus ini telah dikendalikan oleh Ustaz Mohd Rosmaidi Othman, pensyarah dari Kolej Komuniti Bandar Darulaman, yang berpengalaman dalam bidang berkaitan. Penyampaian beliau yang jelas dan sistematik telah membantu peserta memahami setiap proses dengan lebih baik.
Sepanjang kursus berlangsung, para peserta memberikan komitmen yang tinggi dan menunjukkan minat yang mendalam terhadap ilmu yang disampaikan. Program ini diharapkan dapat melahirkan individu yang berpengetahuan serta berkemahiran dalam membantu pengurusan jenazah di komuniti setempat.
Secara keseluruhannya, kursus ini berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang telah ditetapkan.