29/04/2026
KUNJUNG HORMAT & PERBINCANGAN PENGANJURAN KEJOHANAN SILAT SENI PENDEKAR MUDA NEGERI PERAK 2026
Satu sesi kunjung hormat telah diadakan bersama YB Dato’ Khairudin bin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak.
Sesi ini memberi ruang untuk membincangkan penganjuran Kejohanan Silat Seni Pendekar Muda Negeri Perak 2026, satu usaha bagi memperkasakan seni mempertahankan diri warisan bangsa dalam kalangan generasi muda.
Kejohanan ini dijadualkan berlangsung pada:
Tarikh: 13 Jun 2026
Masa: 8.00 pagi – 6.00 petang
Tempat: Dewan Utama, Kolej Profesional MARA Seri Iskandar
Antara kategori yang akan dipertandingkan ialah Solo Kreatif, Ganda, Solo Kreatif Tangan Kosong dan Ganda Tangan Kosong, melibatkan pesilat muda berumur 9 hingga 17 tahun.
YB Dato’ Khairudin amat positif dan menyatakan kesediaan untuk memberikan sokongan terhadap penganjuran kejohanan ini. Sokongan sebegini amat bermakna dalam usaha melahirkan pesilat muda yang bukan sahaja hebat dari sudut kemahiran, tetapi juga berdisiplin, berjati diri dan menghargai warisan seni silat Melayu.
Delegasi Kolej Profesional MARA Seri Iskandar diwakili oleh:
Pn. Mini Zanita Zakaria
Pengarah KPM Seri Iskandar
Tn. Hj. Zamri Mohd Shari
Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar
En. Ahmad Shahriman Ahamad Tekmezi
Pengarah Kejohanan
En. Muhd Aidil Akmal Mohamad Azizi
Pegawai Kokurikulum
Semoga penganjuran kejohanan ini menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat baharu, menyemarakkan semangat kesukanan dan mengangkat martabat silat seni di Negeri Perak.
Silat bukan sekadar gerak dan langkah, tetapi lambang disiplin, adab, keberanian dan maruah bangsa.