16/06/2026
Meraikan Juara, Menginspirasikan Generasi: Malam Anugerah Sukan USM 2025/2026
PULAU PINANG, 16 Jun 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi membuktikan komitmennya dalam melahirkan atlet cemerlang apabila menganjurkan Majlis Anugerah Sukan USM Sidang Akademik 2025/2026 yang berlangsung dengan penuh gemilang di G Hotel, Pulau Pinang. Majlis berprestij ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga sukan universiti atas dedikasi dan pencapaian membanggakan sepanjang tahun.
Majlis tersebut bukan sekadar platform meraikan kejayaan atlet, malah menjadi simbol penghargaan universiti terhadap pengorbanan, disiplin dan semangat juang tinggi yang telah mengharumkan nama USM di pelbagai peringkat pertandingan.
Seramai 36 Ketua Pasukan, 32 Jurulatih, 29 penerima Anugerah Khidmat Cemerlang, 15 penerima Anugerah Separuh Warna dan 27 penerima Anugerah Warna Penuh menerima pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam memartabatkan sukan universiti.
Antara kemuncak majlis ialah pengumuman pemenang kategori utama yang menyaksikan pasukan dan individu terbaik menerima penghormatan tertinggi:
🏆 Pasukan Terbaik Bawah 6 Orang SePasukan (Wanita) – Bola Tampar Pantai Wanita
🏆 Pasukan Terbaik Bawah 6 Orang SePasukan (Lelaki) – Bola Keranjang Lelaki
🏆 Pasukan Terbaik Lebih 7 Orang SePasukan (Lelaki) – Hoki Lelaki dan Bola Tampar Lelaki
🏆 Pasukan Terbaik Lebih 7 Orang SePasukan (Wanita) – Bola Jaring
🏆 Bintang Harapan Lelaki – Neo Jun Jen (Bola Keranjang)
🏆 Bintang Harapan Wanita – Pritiswary A/P Muniswaran (Memanah)
🏆 Olahragawan USM 2025/2026 – Amir Daniel Abdul Majeed (Judo)
🏆 Olahragawati USM 2025/2026 – Noor Aishah Iskandar (Bola tampar Pantai)
🏆 Anugerah Ungu – Shanggamithara A/P Parameswaran (Floorball Wanita)
Majlis ini turut menyerlahkan kejayaan USM dalam membangunkan ekosistem sukan yang holistik, bukan sahaja menghasilkan atlet berprestasi tinggi malah membentuk mahasiswa yang mempunyai nilai kepimpinan, disiplin dan daya tahan yang luar biasa.
Kejayaan yang diraikan pada malam tersebut adalah hasil sokongan padu dan perancangan strategik pihak pengurusan universiti yang sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan bakat sukan. Komitmen kepimpinan tertinggi universiti, Pusat Sukan dan Rekreasi USM, jurulatih, pegawai serta seluruh warga kampus telah mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk atlet berkembang dan mencapai kecemerlangan.
Kejayaan penganjuran Majlis Anugerah Sukan USM Sidang Akademik 2025/2026 turut disokong oleh komitmen tinggi rakan strategik dan penaja yang sentiasa bersama dalam memperkasakan pembangunan sukan universiti. Penghargaan istimewa diberikan kepada Milo Malaysia yang sekian lama menjadi antara jenama paling sinonim dengan pembangunan sukan negara, daripada peringkat akar umbi sehingga ke pentas kebangsaan dan antarabangsa.
Majlis Anugerah Sukan USM 2025/2026 bukan sekadar sebuah majlis penyampaian anugerah, tetapi merupakan manifestasi penghargaan kepada usaha, pengorbanan dan dedikasi seluruh warga sukan universiti membawa nama USM ke persada dunia.