06/06/2026
MEMBINA PASUKAN HEBAT, MENCIPTA KECEMERLANGAN ORGANISASI
GOPENG, 2-4 Jun 2026 - Unit Pengurusan Psikologi & Kesihatan (UPsiK) Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah (PMSN) telah berjaya menganjurkan Bengkel Pembinaan Pasukan Berprestasi Tinggi (High Performance Team) di Gopeng Glamping Park, Gopeng, Perak yang melibatkan seramai 22 orang pegawai dan pensyarah PMSN. Program ini turut disertai oleh Yang Berusaha Ts. Dr. Izwah binti Ismail, Pengarah PMSN, yang bersama-sama peserta mengikuti pelbagai aktiviti sepanjang bengkel berlangsung.
Sepanjang tiga hari program, peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti yang mencabar dan menyeronokkan seperti Team Building Games, Tazkirah Maghrib, Explorace @ Kampung Chulek, Whitewater Rafting @ Kampar River serta ATV Fun Ride ke Gua Tempurung. Aktiviti-aktiviti ini dirangka khusus bagi memperkukuhkan budaya kerja berpasukan berprestasi tinggi melalui peningkatan kerjasama, komunikasi berkesan dan kepercayaan dalam kalangan warga PMSN, selaras dengan aspirasi institusi untuk melahirkan pasukan yang lebih mantap dan berdaya saing.
Peserta juga amat bertuah kerana berpeluang mengikuti sesi perkongsian ilmu bertajuk βKecemerlangan Organisasiβ yang disampaikan oleh En. Ishanuddin bin Hussin, Mantan Pengarah Politeknik Sultan Idris Shah. Pengisian yang penuh inspirasi dan sarat dengan pengalaman kepimpinan ini telah membuka perspektif baharu kepada peserta mengenai kepentingan sinergi, integriti dan komitmen dalam membina organisasi yang cemerlang.
Program ini berjaya memberikan impak yang signifikan dengan mewujudkan hubungan kerja yang lebih erat, meningkatkan semangat kebersamaan serta memperkukuhkan komitmen warga PMSN dalam melaksanakan tugas secara kolaboratif dan berfokuskan kecemerlangan. Semoga pengalaman yang diperoleh sepanjang bengkel ini menjadi pemangkin kepada pembentukan pasukan kerja yang lebih dinamik, berprestasi tinggi dan sentiasa bersedia menggalas cabaran demi merealisasikan visi serta misi PMSN.