09/06/2026
TVETMARA JOHOR BAHRU DAN ICC UTM BAKAL BERGANDING ANJUR PERTANDINGAN INOVASI PERINGKAT ANTARABANGSA
Selasa, 8 Jun 2026
TVETMARA Johor Bahru hari ini telah menerima kunjungan pihak Innovation & Commercialization Centre (ICC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi membincangkan kerjasama penganjuran The Industrial Art & Technology Exhibition and Competition (INATEX) 2026, sebuah program inovasi dan teknologi yang menghimpunkan penyertaan oleh pelbagai institusi pendidikan dan industri dari dalam dan luar negara.
Pihak ICC UTM melihat potensi dan percaya dengan keupayaan dan kepakaran TVETMARA Johor Bahru melalui penglibatan sebagai pempamer dan penyertaan pelajar ke program tersebut yang telah diadakan pada Oktober 2025 yang lalu. Delegasi kunjungan ICC ini adalah diketuai oleh Timbalan Pengarah ICC UTM, Dr. Ma Kalthum binti Ishak yang hadir bersama Ts. Dr. Norhayati binti Mohamed Noor, Dr. Wan Hairul Anuar bin Kamaruddin dan Pn. Norlinda binti Ali.
Hasil perbincangan, TVETMARA Johor Bahru akan memainkan peranan sebagai sebahagian daripada urus setia penganjuran serta mempromosikan INATEX 2026 yang bakal berlangsung pada 8 hingga 9 Disember 2026 di UTM Skudai.
Menurut Pengarah TVETMARA Johor Bahru, Ir. Ts. Dr. Mohd Nazif bin Mohd Baharuddin, kerjasama strategik antara kedua-dua institusi ini adalah selaras dengan usaha membudayakan inovasi, penyelidikan dan pengkomersialan dalam kalangan warga kerja TVETMARA Johor Bahru.
Selain itu, pihak ICC UTM turut menyatakan hasrat kerjasama dalam penghasilan cenderamata dan pingat rasmi program menggunakan kemudahan teknologi TVET terkini yang terdapat di institusi ini. Kerjasama antara ICC UTM dan TVETMARA Johor Bahru bakal menjadi platform terbaik dalam memperluaskan jaringan strategik, meningkatkan keterlihatan institusi serta memperkasakan penglibatan warga kerja dalam penganjuran program inovasi bertaraf antarabangsa.
Terima kasih ICC UTM dan diharapkan perlaksanaan program akan direalisasikan dengan cemerlang!
#𝗧𝗩𝗘𝗧𝗠𝗮𝗹𝗮𝘆𝘀𝗶𝗮