09/04/2026
BENGKEL JOINT DEGREE UTM β NORTHWEST UNIVERSITY PERKUKUH KERJASAMA AKADEMIK ANTARABANGSA
9 April 2026 β Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) telah menganjurkan Bengkel Joint Degree yang berlangsung di Hyatt Place Johor Bahru. Bengkel ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Kimia, Fakulti Sains, UTM bersama Northwest University bagi memperkukuh pembangunan program akademik berorientasikan antarabangsa.
Bengkel tersebut menghimpunkan wakil Fakulti Sains serta pengurusan UGS untuk membincangkan kesesuaian struktur kurikulum, model pelaksanaan dan potensi kerjasama strategik antara kedua-dua institusi. Program yang dikenal pasti untuk kerjasama ini ialah Sarjana Muda Sains (Kimia Industri) Dengan Kepujian.
Turut hadir dalam bengkel ini ialah Dekan UGS, Prof. Madya Dr. Mahyuddin bin Arsat serta Timbalan Dekan (Akademik & Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Sains, Prof. Madya Chm. Dr. Norazah Basar.
Menurut pihak UTM, inisiatif ini selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 yang menekankan transformasi pendidikan melalui pembangunan bakat global, inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran, serta pengukuhan jaringan kerjasama antarabangsa.
Penganjuran bengkel ini dilihat sebagai langkah strategik universiti dalam memperluaskan penawaran program pendidikan transnasional, di samping meningkatkan daya saing graduan UTM di peringkat global. Bengkel ini juga dijangka mencapai matlamat penganjurannya serta membuka ruang kepada pelaksanaan program kerjasama yang berterusan pada masa hadapan.