07/09/2026
UniSZA BAKAL MENJADI UNIVERSITI KELIMA MENAWARKAN KOR KADET MARITIM MALAYSIA
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal menjadi universiti kelima di Malaysia yang menawarkan Kor Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) mulai tahun hadapan, sekali gus membuka peluang kepada mahasiswa untuk mendapatkan pendedahan awal mengenai peranan dan tanggungjawab Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, PASKAM yang mula diperkenalkan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada tahun 2018 turut menjadi platform kepada mahasiswa yang berminat untuk menceburi kerjaya bersama agensi berkenaan.
Menurut beliau, ketika ini PASKAM telah dilaksanakan di empat institusi pengajian tinggi, iaitu UniMAP, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“UMS menerima kumpulan pertama pada tahun ini, manakala program ini akan dilancarkan di UniSZA, Terengganu pada tahun hadapan.
“APMM berhasrat untuk memperluaskan pelaksanaan program ini ke lebih banyak institusi bagi memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai peranan agensi penguatkuasaan dalam menjaga dan melindungi perairan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan dan Graduasi Leftenan Muda PASKAM di Kampus Pekan, UMPSA.
Mohd Zawawi berkata, penglibatan dalam PASKAM turut memberikan kelebihan kepada kadet yang berminat untuk membina kerjaya bersama APMM.
Menurut beliau, latihan yang diterima membolehkan kadet memahami dengan lebih mendalam mengenai tugas dan tanggungjawab APMM, sekali gus menjadi nilai tambah apabila mereka memohon untuk menyertai agensi berkenaan.
“PASKAM menyediakan laluan kepada mahasiswa untuk menceburi kerjaya bersama APMM dan boleh memberikan kelebihan kepada mereka semasa sesi temu duga.
“Ketika ini, ramai bekas kadet PASKAM daripada UMT telah menyertai APMM sebagai pegawai,” katanya.
Beliau turut menyifatkan PASKAM sebagai platform yang mampu mendekatkan mahasiswa dengan sektor maritim, khususnya dalam aspek keselamatan, penguatkuasaan, disiplin serta tanggungjawab mempertahankan kepentingan negara di perairan.
Katanya, sebahagian besar negara terdiri daripada kawasan perairan dan laut yang mempunyai kepentingan strategik terhadap keselamatan negara, ekonomi, perdagangan serta kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu, kesedaran generasi muda terhadap kepentingan sektor maritim negara perlu terus dipertingkatkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Pentauliahan Leftenan Muda PASKAM yang berlangsung di UMPSA turut mencatat sejarah apabila buat julung kalinya menghimpunkan seramai 127 kadet daripada UMPSA, UMT dan UniMAP untuk menerima tauliah sebagai Leftenan Muda setelah menamatkan latihan.
Majlis tersebut sebelum ini lazimnya diadakan secara berasingan di universiti masing-masing. Latihan PASKAM dilaksanakan dalam tempoh empat semester.
Pada majlis sama, Mohd Zawawi turut melancarkan buku bertajuk Op Naga Barat: Strategic, Economic and Prosecution Analysis from the MMEA Perspective.
Sementara itu, Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed berkata, kerjasama erat antara UMPSA dan APMM turut membawa kepada penerbitan buku berkenaan.
Menurut beliau, buku tersebut mengetengahkan secara mendalam kejayaan Op Naga, sebuah operasi pasukan petugas pelbagai agensi yang diketuai APMM bagi membanteras pencerobohan kapal asing secara haram di perairan Malaysia sejak operasi itu dilancarkan pada tahun 2019.
Sumber Berita :
https://www.nst.com.my/amp/news/nation/2026/09/1526421/unisza-become-fifth-university-offering-malaysian-maritime-cadet-corps.