11/03/2026
TRANSISI SEKTOR AKADEMIK KE SEKTOR TVET: UMPSA SAHUT CABARAN
10 Mac 2026 (Selasa) – Pusat Perancangan dan Pembangunan Akademik (PPPA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Bengkel Conversion Program Akademik kepada Program TVET yang berlangsung di Astana Ballroom, Hotel Grand Makmur, Kuantan, Pahang.Bengkel ini bertujuan memberi penerangan mengenai proses peralihan program akademik sedia ada kepada program TVET selaras dengan usaha universiti meningkatkan penawaran program TVET.
Bengkel ini melibatkan penyertaan daripada pusat-pusat di bawah Strategik dan Pembangunan Akademik (SPA) bersama wakil fakulti yang terdiri daripada Dekan, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Ketua Jabatan serta Penyelaras Program yang berkaitan. Sebanyak lima fakulti terlibat dalam pelaksanaan program TVET Conversion, iaitu Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM).
Sepanjang bengkel, sesi penerangan dan perbincangan telah dijalankan meliputi keperluan, kriteria serta kerangka pembangunan program TVET. Selain itu, pandangan dan cadangan daripada fakulti turut dibincangkan bagi memastikan pelaksanaan TVET Conversion dapat dilaksanakan secara terancang serta memenuhi keperluan industri.
Secara keseluruhannya, bengkel ini telah memberikan pemahaman yang lebih jelas kepada fakulti berkaitan proses conversion program akademik kepada program TVET serta langkah-langkah yang perlu diambil dalam pembangunan program tersebut. UMPSA optimis dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, malah memiliki kemahiran teknikal yang kompetitif di peringkat global.