12/05/2026
LATIHAN EKSESAIS WIRA MERAH 1 BAGI KURSUS PEMBANTU PERTAHANAN PENINGKATAN KELAS II SIRI 26/26
SENDAYAN, 4 Mei 26 β Sekolah Pembantu Pertahanan (SPP), Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR) telah melaksanakan Latihan Eksesais Wira Merah 1 yang melibatkan seramai 42 orang penuntut Kursus Pembantu Pertahanan Peningkatan Kelas II Siri 26/26 bertempat di Bangunan PPHM, Pangkalan Udara Sendayan. Latihan ini telah bermula pada 30 Apr 26 hingga 4 Mei 26.
Latihan yang dilaksanakan ini merupakan salah satu komponen penting dalam meningkatkan tahap kompetensi, ketahanan mental dan fizikal serta kesiapsiagaan penuntut kursus dalam menghadapi situasi operasi sebenar. Sepanjang latihan berlangsung, para penuntut telah didedahkan dengan pelbagai bentuk latihan medan yang menekankan aspek disiplin, kepimpinan, komunikasi serta keupayaan bertindak secara pantas dan tersusun mengikut prosedur operasi yang telah ditetapkan.
Objektif utama latihan ini adalah untuk menguji tahap kecekapan dan kemahiran penuntut dalam melaksanakan penjejakan serta Military Operation in Urban Terrain (MOUT) secara berkesan. Selain itu, latihan ini juga turut memberi penekanan terhadap aspek pengendalian Operasi Pertahanan Darat yang merangkumi elemen penugasan, tatacara penyampaian maklumat, tatacara pelaksanaan operasi dalam situasi sebenar serta keupayaan membuat perkiraan keadaan dan keputusan yang tepat bagi memenuhi keperluan operasi semasa.
Di samping itu, latihan ini juga bertujuan membentuk semangat kerjasama berpasukan, meningkatkan keyakinan diri serta memupuk nilai kepimpinan dan integriti dalam kalangan penuntut kursus. Setiap penuntut diuji dari aspek daya tahan, keupayaan menyelesaikan masalah serta kebolehan mengaplikasikan ilmu dan kemahiran yang telah dipelajari sepanjang kursus dalam suasana latihan yang mencabar dan realistik.
Pelaksanaan latihan ini secara tidak langsung dapat memperkukuhkan tahap kesiapsiagaan anggota serta memastikan setiap penuntut memiliki tahap profesionalisme dan kompetensi yang tinggi selaras dengan kehendak perkhidmatan dan keperluan operasi semasa TUDM.
Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penuntut Kursus Pembantu Pertahanan Peningkatan Kelas II Siri 26/26 yang telah berjaya menamatkan Latihan Eksesais Wira Merah 1 dengan penuh semangat, dedikasi dan komitmen yang tinggi. Semoga segala ilmu, pengalaman dan kemahiran yang diperoleh sepanjang latihan ini dapat dimanfaatkan serta diaplikasikan dengan sebaiknya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab pada masa hadapan.