08/05/2026
LAWATAN BERASASKAN BUKTI YB TIMBALAN MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM KE FPV, UPM BAGI MENINJAU PROJEK RINTIS KAWALAN POPULASI KERA
Oleh: Hafizd Hitam / [email protected]
SERDANG, 7 Mei – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah mengadakan lawatan berasaskan bukti (evidence-based visit) bagi meninjau perkembangan projek rintis kawalan populasi kera secara tidak invasif, yang dijalankan di sekitar kawasan Bukit Jalil.
Selepas sesi tinjauan tersebut, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh, bersama beberapa pegawai daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN), telah mengadakan lawatan ke Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan perkembangan kajian tersebut.
Lawatan ini merupakan susulan kepada isu yang telah dibangkitkan di Parlimen serta lawatan kerja YB Timbalan Menteri NRES ke Pulau Pinang baru-baru ini berhubung konflik manusia dengan hidupan liar, khususnya melibatkan kera. Konflik ini berlaku apabila haiwan berkenaan semakin menghampiri kawasan penempatan manusia akibat pengecilan habitat asal, selain gangguan aktiviti manusia yang turut mempengaruhi perubahan tingkah laku hidupan liar tersebut.
Menurut YB Timbalan Menteri NRES, antara faktor utama yang menyumbang kepada perubahan tingkah laku kera ialah aktiviti pemberian makanan oleh manusia. Dalam sesetengah keadaan, pemberian makanan kepada hidupan liar turut dijadikan sebagai daya tarikan pelancongan. Walau bagaimanapun, amalan ini boleh mengubah tabiat semula jadi kera, yang merupakan spesies cepat belajar dan mudah beradaptasi dengan persekitaran baharu. Keadaan ini menyebabkan kera menjadi kurang takut kepada manusia, sekali gus meningkatkan risiko konflik apabila berlaku pertembungan antara aktiviti manusia dan hidupan liar.
Bagi mencari penyelesaian yang lebih berperikemanusiaan dalam mengawal populasi hidupan liar, khususnya kera, UPM telah bekerjasama dengan Jabatan PERHILITAN dalam membangunkan kaedah kontraseptif oral sebagai pendekatan alternatif yang lebih lestari. Kaedah ini dilihat berpotensi menjadi penyelesaian jangka panjang berbanding kaedah fizikal seperti penangkapan dan pemindahan, yang lazimnya bersifat sementara.
Pakar atau pensyarah dalam bidang Pengurusan Hidupan Liar, FPV UPM, Dr. Tengku Rinalfi Putra Tengku Azizan, telah membentangkan kaedah kajian yang dijalankan menerusi projek di bawah tajaan NRES, melalui Dana Konservasi Amanah Negara (National Conservation Trust Fund, NCTF), dan Jabatan PERHILITAN.
Menurut beliau, kajian tersebut menggunakan gabungan dua hormon yang lazim digunakan dalam ubat kawalan kehamilan manusia, iaitu ethinyl estradiol dan levonorgestrel, sebagai bahan utama yang dimasukkan ke dalam umpan makanan. Hormon ini berfungsi untuk menghalang kera betina daripada menghasilkan hormon pembiakan yang penting, sekali gus membantu mengawal kadar pembiakan populasi kera.
Hasil ujian awal menunjukkan bahawa umpan kontraseptif tersebut berkesan apabila diuji ke atas kera dalam kurungan. Malah, kesan kontraseptif tersebut didapati boleh dihentikan sekiranya pemberian hormon tidak diteruskan. Kajian ini juga berjaya menentukan formulasi dan dos yang sesuai untuk dimasukkan ke dalam umpan makanan sebelum diuji pada peringkat aplikasi lapangan.
Setakat ini, kajian menunjukkan bahawa umpan kontraseptif berkenaan berkesan pada peringkat in vitro dan in vivo, sekali gus menjawab persoalan yang dibahaskan di Parlimen berkaitan pendekatan kawalan populasi kera ekor panjang. Projek yang menggunakan dana berjumlah kira-kira RM400,000 ini telah selesai dilaksanakan, dan laporan akhir telah dihantar kepada pihak PERHILITAN. Fasa seterusnya kini berada pada peringkat pencarian dana bagi membolehkan aplikasi umpan kontraseptif dilaksanakan di lapangan.
Pendekatan ini bukan sahaja lebih berperikemanusiaan, malah berpotensi menjadi kaedah pengurusan populasi hidupan liar yang lebih mampan dalam jangka panjang. Namun begitu, penyebaran maklumat kepada masyarakat berhubung inisiatif ini serta kaedah pelaksanaannya adalah penting bagi meningkatkan kesedaran awam dan mendapatkan sokongan masyarakat. Sokongan orang ramai turut menjadi faktor penting dalam memastikan kejayaan pelaksanaan pelan ini.
Dalam lawatan yang sama, YB Timbalan Menteri turut dibawa melawat Muzium Anatomi Haiwan, Fakulti Perubatan Veterinar UPM, serta sekitar Kompleks Hospital Veterinar Universiti. Sebelum lawatan berakhir, beliau turut menyatakan hasrat untuk menjalin kerjasama pada masa akan datang dalam usaha menangani konflik manusia dengan hidupan liar melalui pendekatan nasional yang lebih lestari demi kesejahteraan manusia dan kelestarian hidupan liar.