16/03/2026
TAKLIMAT ALTERNATIVE ASSESSMENT AKHIRI BENGKEL PERSEDIAAN PENGAJARAN A252 UNTUK PENSYARAH SCIMPA
SINTOK, 5 Mac – Satu taklimat berkaitan Alternative Assessment telah diadakan di Bilik Serbaguna SQS sebagai sebahagian daripada pengisian hari terakhir Bengkel Persediaan Pengajaran Semester A252. Taklimat tersebut disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Nurliyana Binti Bukhari dari Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM), dan dihadiri oleh staf akademik SCIMPA.
Taklimat ini merupakan antara pengisian utama untuk bengkel yang telah berlangsung selama lima hari bermula 1 hingga 5 Mac 2026. Bengkel tersebut dianjurkan bagi membantu pensyarah membuat persediaan menyeluruh sebelum bermulanya semester baharu, termasuk perancangan pengajaran, penyediaan bahan kuliah, pembangunan nota pengajaran, penyediaan tugasan pelajar serta perbincangan berkaitan pelaksanaan Continuous Quality Improvement (CQI).
Dalam sesi taklimat tersebut, Dr. Nurliyana memberi penerangan khusus mengenai pelaksanaan alternative assessment sebagai pendekatan pentaksiran yang lebih pelbagai dan autentik dalam menilai pencapaian pelajar. Beliau turut menjelaskan kepentingan merancang pentaksiran yang selaras dengan hasil pembelajaran kursus (CLO) serta memastikan kaedah penilaian yang digunakan mampu menilai kemahiran dan kefahaman pelajar secara lebih menyeluruh. Selain itu, beliau turut berkongsi panduan dalam merangka tugasan dan aktiviti pentaksiran yang bersesuaian dengan keperluan kursus, di samping menekankan kepentingan menyediakan kriteria pemarkahan yang jelas melalui penggunaan rubrik bagi memastikan proses penilaian yang lebih telus dan konsisten.
Sesi taklimat turut disusuli dengan perbincangan serta sesi soal jawab yang aktif antara penceramah dan para peserta. Perbincangan tersebut banyak membantu pensyarah mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan pelaksanaan pentaksiran alternatif, khususnya dalam aspek penyediaan tugasan serta kaedah pemarkahan yang bersesuaian. Sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan penyertaan sepanjang bengkel berlangsung, semua staf yang hadir turut menerima cenderahati Bakul Ceria Ramadan pada akhir program tersebut.