27/04/2026
Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program bertajuk How to Get Your Article Published in Newspaper: Writing Tips, Strategies & Publishing Guide bertempat di Bilik Serbaguna SQS (BSG), hari ini.
Program yang berlangsung dari pukul 9.00 hingga 11.30 pagi itu menampilkan Prof. Dr. Ahmad Zubir Ibrahim dari Pusat Pengajian Kerajaan (SoG) sebagai penceramah jemputan. Sesi tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang kaedah menghasilkan penulisan berkualiti serta strategi menembusi ruangan akhbar arus perdana.
Prof. Dr. Ahmad Zubir Bin Ibrahim bukanlah nama asing dalam dunia penulisan akhbar apabila beliau mula menulis di Berita Harian sejak tahun 2017. Sepanjang penglibatan beliau, pelbagai artikel telah diterbitkan yang menyentuh isu semasa dan masyarakat.
Antara topik yang pernah diketengahkan termasuk artikel berkaitan konflik Asia Barat, kenaikan kos sara hidup, Akta Iltizam Reformasi Akta Awam serta isu kemiskinan yang menjadi belenggu pelajar gagal SPM.
Menurut beliau, penulisan di akhbar bukan sahaja menjadi medium perkongsian ilmu, malah ianya mampu mempromosikan diri sebagai pakar dalam bidang tertentu. Katanya, ahli akademik dan penyelidik wajar memanfaatkan hasil penyelidikan masing-masing untuk diterjemahkan dalam bentuk artikel yang mudah difahami masyarakat.
βPenulisan yang baik tidak semestinya terlalu formal. Gaya santai tetapi padat dengan fakta lebih mudah menarik minat pembaca,β katanya semasa sesi perkongsian.
Program ini turut memberi peluang kepada warga universiti untuk memahami teknik pemilihan tajuk, gaya bahasa yang sesuai, serta langkah menghantar artikel kepada pihak media.
Penganjuran program seumpama ini diharap dapat melahirkan lebih ramai penulis dalam kalangan akademia yang mampu menyumbang idea dan pandangan kepada masyarakat melalui platform akhbar.